Tuesday, April 21, 2009

Kursus Penjagaan Bungkah Cendawan di Chini Agro Enterprise

CHINI, Sabtu 28-Mar-2009: Selepas beberapa ketika melayari internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan projek tanaman cendawan, kami akhirnya menghadiri Kursus Penjagaan Bungkah Cendawan di Chini, Pekan. Walaupun jarak ke Chini hampir 100KM dari Kuantan (200KM pergi balik), ia tidak menghalang kami untuk mengikuti kurus yang dianjurkan oleh Chini Agro Enterprise (158 Felda Chini Timur 3, 26690 Pekan, Pahang Darul Makmur).
Kami bertiga (Haji Maziffar, Shafian & Faizul) bertolak jam 7:30pagi dari Kuantan dan sampai pukul 9:10pagi selepas berhenti sarapan di Batu 10 Jalan Gambang. Terdapat 2 lagi peserta yang turut serta dalam kursus ini. Berbeza dengan kursus-kursus cendawan yang dianjurkan oleh beberapa pengusaha lain, kursus kali ini hanya khusus kepada teknik penjagaan bungkah berbenih sahaja dan kursus bermula dari jam 9:30 pagi hingga 12:30 tengahari. Menurut sifu yang mengajar kami, LanChini, ini merupakan kali pertama kursus penjagaan bungkah ini diadakan. Sebelum ini, kursus-kursus yang diadakan merupakan kursus penuh yang melibatkan proses membancuh habuk kayu, menyuntik benih sehingga ke proses memetik hasil cendawan.


Bagi kami, kursus ini menepati kehendak kami. Kami baru hendak bermula dalam projek tanaman cendawan ini dan untuk permulaan kami hanya ingin mengetahui bagaimana menjaga bungkah cendawan yang siap berbenih yang dibeli dari pengusaha-pengusaha cendawan. Kami belum bersedia lagi untuk menyediakan bungkah sendiri. Insya-Allah bila sampai masanya nanti, kami akan mengikuti kursus lanjutan untuk proses membuat bungkah dan menyuntik benih pula.



KENAPA SAYA MEMILIH CHINI AGRO ENTERPRISE?
Antara laman-laman web yang saya lawati, saya dapati website chiniagro.blogspot.com banyak berkongsi maklumat mengenai tanaman cendawan dan laman webnya sentiasa dikemas-kini dengan perkembangan terkini projek cendawan yang mereka jalankan. Ini menyakinkan saya untuk mengikuti kursus yang dijalankan oleh Agro Chini. Untuk maklumat lanjut mengenai Agro Chini, boleh layari blog chiniagro.blogspot.com ataupun berhubung terus dengan pemiliknya Zamlan 019-3951516.

TEMPAT KURSUS
Kursus dijalankan ditepi bangsal sahaja secara terbuka dalam suasana santai dan simple. Secara praktikalnya, ini lebih baik kerana kami berada dekat dengan bangsal tanaman cendawan. Semua teknik-teknik yang kami ingin tahu boleh ditunjukkan secara terus di bangsal tersebut seperti cara betul menyiram air, cara penyusunan bungkah dan lain-lain.
























ISI KANDUNGAN KURSUS
Bagi saya kursus ini memberikan maklumat yang banyak dan padat. Selain teknik² standard, kami turut didedahkan teknik² alternatif untuk tingkatkan mutu hasil dan juga daya tahan bungkah. Nota atau Buku panduan tanaman cendawan juga diberikan sebagai rujukan sepanjang kursus ini.




Kepentingan memahami cara menangani masalah penyakit yang sering menjadi punca kerugian juga ditekankan oleh sifu kami. Jika ada 10 bungkah bermasalah, dengan teknik yang betul, InsyaAllah sebahagian besar daripadanya dapat keluarkan hasil lagi. Tapi, dengan teknik yang salah, ada kemungkinan 10 bungkah tu akan merebak jadi 100 atau lebih bungkah berpenyakit. Bapa kepada sifu LanChini, Pak Din, turut berada di bangsal semasa kursus dijalankan dan turut bersemangat berkongsi pengalamannya dalam penjagaan bungkah cendawan ini. Selesai kursus penjagaan bungkah, kami turut dibawa melawat tempat memproses habuk kayu dan membuat bungkah. Kami juga berpeluang membuat bagging bungkah cendawan sebagai pendedahan tambahan buat kami.


PENUTUP KURSUS
Sebelum pulang, setiap peserta diberikan 10 bungkah cendawan berbenih dan sedikit cendawan segar yang kami kutip sendiri secara percuma. Kami berpeluang memilih sendiri 10 bungkah cendawan sebagai pilot-run atau bungkah percubaan untuk projek cendawan kami. Agro Chini juga dalam proses pembinaan bilik suntik mereka yang lebih bersih dan terkawal. Saya doakan semoga Chini Agro serta rakan-rakan peserta akan terus berjaya sebagai usahawantani dalam bidang tanaman cendawan ini. Kepada sifu LanChini, terima kasih atas ilmu yang diberikan.