Friday, September 4, 2009

Kulat Hijau vs Cuka Kayu di Bungkah Cendawan

KULAT HIJAU
Kulat hijau merupakan penyakit utama yang menyerang bungkah cendawan yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha cendawan. Berdasarkan pembacaan dari blog-blog pengusaha cendawan, punca kulat hijau datang dari persikitaran bangsal, bilik suntik dan penyuntik benih itu sendiri.

Saya yang hanya menjalankan Pilot Projek dalam skala yang teramat kecil pun turut menghadapi masalah serangan kulat hijau pada bungkah cendawan yang dijaga. Dalam situasi saya, persekitaran tempat menyimpan bungkah merupakan punca utama serangan kulat hijau. Serangan kulat hijau akan menghalang pertumbuhan mycellium cendawan.

Salah satu kaedah untuk merawat bungkah cendawan yang dijangkiti kulat hijau ini ialah melalui penggunaan cuka kayu. Cuka kayu dikatakan dapat membantu mencegah dan membunuh kulat hijau.

HARGA CUKA KAYU
Cuka kayu yang saya gunakan diperolehi dari ChiniAgro (www.chiniagro.blogspot.com) dengan harga RM15 untuk 1 liter. Harga yang diletakkan adalah berpatutan kerana ada jenama cuka kayu yang dijual pada harga RM45 untuk 1 liter. Saya tidak pasti pula apa perbezaan antara jenama yang berbeza ini.
Kepekatan cuka kayu ini perlu dicairkan atau dikurangkan sebelum digunakan dan kepekatan yang diperlukan berbeza mengikut tujuan penggunaannya. Formula dibawah digunakan untuk mengira jumlah larutan cuka kayu yang perlu dicampur.

☼ Jumlah cuka kayu = Jumlah air ÷ kepekatan ☼

Sebagai contoh, untuk 1500ml air (saiz botol air mineral besar) pada kepekatan 200X,Jumlah cuka kayu = 1500ml ÷ 200 = 7.5ml cuka kayu. Untuk sukatan yang tepat, kena gunakan picagari (boleh dapat kat farmasi yang digunakan untuk bagi ubat kat kanak-kanak).

KEPEKATAN 200X (Pencegahan Kulat Hijau)
Pada kepekatan ini, larutan cuka kayu mampu membunuh bakteria dan kulat. Untuk pencegahan kulat hijau, selepas cendawan dituai, sembur larutan cuka kayu kepekatan 200X pada muncung bungkah sebelum tutup rehat dipasang. Untuk penggunaan kepekatan 200X, 1 liter cuka kayu berharga RM15 mampu memberikan anda 133 botol (bersaiz air mineral 1.5L) larutan cuka kayu iaitu berjumlah 200 liter larutan cuka kayu. Tapi tak perlulah nak bancuh kesemua 1 liter cuka kayu, cukup dengan mencampurkan 2.5 ml cuka kayu kedalam 500 ml air untuk menghasilkan larutan kepekatan 200X (500ml ÷ 200 = 2.5ml). Secara kasarnya, anda boleh gunakan botol air mineral kecil (500 ml) dan campurkan satu sudu besar cuka kayu kedalam botol tersebut.

KEPEKATAN 50X (Pembasmian Kulat Hijau)
Pada kepekatan ini, larutan cuka kayu dapat membantu membasmi kulat hijau didalam bungkah cendawan. Untuk pembasmian kulat hijau, asingkan bungkah yang bermasalah, sembur larutan cuka kayu kepekatan 50X ke mulut bungkah cendawan yang bermasalah dan pasang tutup rehat. Letakkan bungkah cendawan dalam keadaan menegak dan biarkan lebih kurang 2 hingga 3 minggu sehingga kulat hijau hilang. Kepekatan 50X diperolehi dengan mencampurkan 10ml cuka kayu kedalam 500ml air (botol air mineral kecil).

KEPEKATAN 20X (Rawatan Bangsal & Kawasan Projek)
Kepekatan ini digunakan sekiranya masalah kulat hijau hampir tidak terkawal. Untuk rawatan bangsal, kawasan kerja atau tapak projek, kepekatan 20X disembur diseluruh kawasan projek yang dapat membantu pengawalan pada masa akan datang. Sekiranya penggunaan cuka kayu dilakukan sebelum memulakan projek, ianya mungkin dapat mengelakkan masalah serangan kulat hijau apabila projek telah berjalan.

KEPEKATAN 10X (Pembersih Alat Pengorek Bungkah)
Pada kepekatan ini, cuka kayu boleh digunakan sebagai pembersih alat pengorek mulut bungkah. Kepekatan 10X diperolehi dengan mencampurkan 50ml cuka kayu kedalam 500ml air (botol air mineral kecil).

KEPEKATAN 500X~1000x (Bancuhan Media/Habuk Kayu)
Saya tidak membuat bungkah sendiri, semuanya dibeli dari ChiniAgro. Namun sekiranya anda membuat bongkah sendiri, cuka kayu boleh digunakan semasa bancuhan media/habuk kayu. Kadar kepekatan yang digunakan adalah antara 500X~1000X. Kadar sebenar yang digunakan bergantung juga pada kualiti habuk kayu.

PENUTUP
Saya juga masih lagi dalam percubaan menggunakan cuka kayu untuk merawat bungkah cendawan yang dijangkiti kulat hijau. Insya-Allah saya akan kemas-kini hasilnya nanti.

"Every accomplishment starts with the decision to try."
FAIZUL MUSHROOM